Memanfaatkan Masa Lapang
Termasuk antara nikmat Allah yang kebanyakan manusia lalai dan lengah terhadapnya, mereka tidak tahu menghargainya dan mereka tidak mensyukurinya dengan baik ialah nikmat “masa lapang”.
Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas, sabda Rasulullah s.a.w:
Terdapat dua nikmat di mana kebanyakan manusia menderita kerugian di dalamnya iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang.”
“Masa lapang” ini maksudnya ialah kekosongan daripada berbagai kesibukan dan perkara-perkara keduniaan yang menghalang dan melarang seseorang daripada melakukan urusan-urusan akhirat.
Hal ini tidak bertentangan dengan apa yang dijelaskan dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis berkenaan dengan galakan atau dorongan berusaha dan mencari sumber kehidupan, selagi hal yang demikian tidak menyebabkannya tenggelam dalam gelombang dan tuntutan kehidupan, dan tidak pula menghalangnya daripada melaksanakan peraturan Allah SWT.
Istilah atau perkataan “tertipu” yang terdapat dalam sabda Rasulullah di atas pada asalnya digunakan dalam kegiatan jual beli dan perdagangan. Jadi dalam hadis ini seperti yang dikatakan Syeikh Al Manawi:
“Seorang mukallaf diumpamakan dengan “peniaga”. Modal utamanya ialah “kesihatan” dan “masa lapang”. Kerana kesihatan dan masa lapang adalah antara faktor penting dalam mencapai keuntungan dan faktor asas dalam menuju “kejayaan”. Sesiapa yang berinteraksi dengan jalan menjunjung segala perintah-Nya, dia akan memperoleh “keuntungan”. Sesiapa yang berinteraksi dengan syaitan dengan memperturutkan kehendaknya, dia telah menyia-nyiakan “modal” perniagaan (yang merupakan anugerah Allah yang tidak dapat dinilai harganya).”
Terdapat dalam hadis lain sabda Rasulullah s.a.w:
“Rebutlah keuntungan (dalam) lima perkara sebelum (datang) lima perkara: masa hidup sebelum mati; sihat sebelum sakit; lapang sebelum sibuk; muda sebelum tua dan masa kaya sebelum miskin.”
Masa lapang tidak akan tetap kosong buat selama-lamanya. Ia akan tetap diisi sama ada dengan perkara yang baik atau perkara yang tidak baik. Sesiapa yang tidak mencipta kesibukan dirinya dengan perkara yang benar (haq), dia akan memiliki kesibukan yang sia-sia (batil). Justeru itu, beruntunglah orang yang mengisi masanya dengan kebaikan dan amal saleh; dan celakalah orang-orang yang mengisi masanya dengan kejahatan dan kebinasaan.
Berkata sebahagian golongan saleh:
“Masa lapang setelah menyelesaikan tugas dan pekerjaan adalah merupakan nikmat yang paling besar. Maka jika seseorang hamba mengkufuri nikmat masa lapang ini dengan cara membuka pintu “hawa nafsu” terhadap dirinya; dan dia terbawa-bawa atau hanyut dalam kepimpinan syahwat dan hawa nafsu, Allah akan menciptakan “kekacauan” di dalam hatinya yang merupakan nikmat utama yang diberikan Allah; dan Allah akan mencabut kebersihan dan ketenangan hati yang pernah dianugerahkan Allah ke atasnya.”
Ibnu ‘Athaillah Al-Iskandari, dalam kitabnya (Al-Hikam) mengatakan:
“Satu kerugian dan kehinaan yang besar iaitu anda selesai melaksanakan kesibukan dan pekerjaan anda, lalu anda tidak menghadap Allah; dan bebananmu telah berkurang, tapi engkau tidak bergerak menuju (keredaan)Nya. Yakni Kekasih dan Pelindung hamba Jalla Jalaluhu.”
Golongan salaf zaman lampau sangat membenci lelaki yang tidak memiliki sebarang pekerjaan, yakni urusan agama tidak; mengenai perkara keduniaan pun tidak. Dengan demikian nikmat masa lapang tersebut baginya bertukar menjadi bencana, sama ada lelaki atau wanita. Oleh yang demikian dikatakan “Masa kosong bagi lelaki adalah satu kealpaan; dan bagi wanita adalah satu rangsangan syahwat.” Yakni perkara yang akan membangkitkan nafsu dan pemikiran mengenai perkara yang berhubungkait dengan syahwat. Bukankah sebab terpikat dan tergodanya isteri Al-Aziz terhadap Nabi Yusuf a.s. dan perangkap yang diciptakannya untuk memikat Nabi Yusuf disebabkan masa terpuang atau masa lapang yang sedang dilaluinya. Bahaya masa terluang ini akan lebih serius lagi bagi para golongan remaja yang memiliki kekuatan naluri atau kecenderungan hawa nafsu. Apa lagi jika remaja tersebut memiliki kemampuan kewangan yang membolehkannya mencapai apa saja yang diingininya.
Dalam hal ini, Abu ‘Athaillah dalam syairnya mengatakan:
Sesungguhnya usia muda, kekosongan masa dan kemewahan,
adalah punca kebinasaan seseorang dalam bentuk kebinasaan apa saja.
Penyair lain berkata:
Sungguh masa lapang telah mendorongnya melakukan perkara yang menyusahkan dirinya.
Punca bala bencana adalah dari kekosongan masa.
Maksudnya, dia terdedah kepada kebinasaan disebabkan masa kosong yang telah merangsangnya, yakni kesibukan hati dan keterpautannya dengan permasalahan hawa nafsu serta dibuai angan-angan yang panjang. Hal di mana ianya hanya tidak akan mendatangkan hasil kecuali kesudahan yang buruk di dunia dan di akhirat.
(Petikan dari buku Nilai & Harga Waktu)